Wednesday, June 12, 2013

Muslimah : Bolehkah kami memakai pakaian berwarna ?

Ada yang bertanya, apakah dalam Islam wanita hanya boleh memakai pakaian hitam dan suram sahaja seperti wanita-wanita Arab di negera-negara Teluk? 
Saya berpendapat bahawa pakaian wanita yang berwarna bukanlah satu kesalahan selagi warna itu secara lojik itu tidak membawa kepada pandangan yang serong ataupun buruk terhadap dirinya. Ini kerana wanita pada zaman Nabi s.a.w, bahkan isteri-isteri dan anak perempuan baginda juga memakai pakaian berwarna. Begitu banyak riwayat yang membuktikan hal tersebut.
Antaranya apa yang disebut oleh Aishah bint Sa’d: “Aku melihat enam dari isteri-isteri memakai pakaian mu’asfar (berwarna merah)” (Riwayat al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).

Mu’asfar bermaksud dicelup dengan ‘usfur iaitu sejenis tumbuhan yang menghasilkan warna merah.

Said bin Jubair meriwayatkan bahawa beliau lihat sesetengah isteri Nabi s.a.w bertawaf di Kaabah memakai pakaian mu’asfar (Riwayat Ibn Abi Syaibah).
‘Umar bin Al-Khattab apabila melihat lelaki memakai warna mu’asfar, akan memarahi mereka dan berkata: “Tinggalkan ini untuk wanita” (al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah).

Begitu juga “Anas bin Malik melihat Umm al-Kalthum puteri Rasulullah s.a.w memakai selendang daripada sutera bersulam emas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ini menunjukkan pakaian jenama mahal, halus dan berwarna yang menawan iaitu keemasan.

Dalam riwayat al-Bukhari juga: “Isteri ‘Abd al-Rahman bin al-Zubair datang mengadu kepada ‘Aishah. Kata Aishah r.a: “Dia memakai pakaian berwarna hijau”.

Maka kata al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (463): “Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah” (al-Tamhid, 16/123, Muassasah al-Qurtubah).

Apa yang disebutkan ialah warna yang digunakan pada zaman tersebut. Sebahagian warna yang dilarang kepada lelaki, tetap dibenar perempuan. Ada keluasan untuk wanita dalam masalah warna pakaian.

Sumber: FB Dr.Maza

No comments:

Post a Comment