Friday, April 13, 2012

“Kitchen is every woman’s kingdom” ^^

Sisters: Kerajaan Wanita
I am a Muslimah Master Chef
“Along, kamu kena pandai masak lima hidangan dulu sebelum kamu umi izinkan untuk kahwin. Lima hidangan tu mesti ada 2 jenis sayur, 2 jenis lauk dan manisan atau pencuci mulut. Barulah kamu umi kira sebagai dah sesuai untuk berumah tangga.”
Itu kata-kata umi saya suatu ketika dahulu. Ketika remaja lain sibuk bergembira dengan dunia remaja mereka saya pula terperangkap dalam ujian yang dicipta oleh umi saya yang diwarisi beliau sejak turun-temurun. Nampak kuno dan tradisional bukan? Tapi itulah realiti kehidupan kaum wanita yang dididik di sebelah keluarga umi saya hingga mampu melahirkan generasi umi dan makcik-makcik saya yang pandai memasak.
Pada ketika itu saya kira, wanita yang pandai memasak hanyalah ciptaan keluarga sebelah umi saya memandangkan saya juga melihat contoh-contoh wanita lain dalam keluarga besar yang tidak pandai memasak tapi berjaya dalam kehidupan bekerjaya. Kadangkala terfikir juga saya, wanita dan kebolehan memasak ini seolah-olah pandangan stereotipikal masyarakat Asia atau mungkin budaya masyarakat kita yang menyekat wanita untuk memiliki kebolehan lain dan sebenarnya juga bagaikan suatu bentuk penindasan oleh kaum lelaki terhadap wanita. Seolah-olah dunia wanita hanya untuk memasak, seluruh kehidupannya adalah di dapur menyediakan hidangan buat keluarga.
Pandangan berubah
Saya memberontak ketika itu apabila disuruh dan dipaksa duduk di dapur. Berbagai alasan yang akan saya berikan dan selalunya alasan belajar atau membaca buku pasti berjaya membuatkan umi mengalah dari menyuruh saya ke dapur. Mungkin dari situ juga saya semakin rapat dengan buku tetapi semakin jauh dengan dapur. Hinggalah suatu saat, saya bagaikan tersedar ada suatu tarikan semulajadi untuk saya ke dapur. Selain mengalah dengan ajakan umi, mencuba mengambil hati dia yang acapkali geram dengan sikap saya, dapur seolah-olah menyediakan suatu kuasa untuk saya pegang dan gunakan untuk kemaslahatan ahli rumah saya. Tambah menggembirakan apabila seisi rumah berselera makan hasil masakan saya.
“Kitchen is every woman’s kingdom”
Suka untuk saya kongsikan sebuah play yang ditulis oleh Susan Glaspell pada tahun 1916, yang pernah pensyarah dan rakan sekelas saya bincangkan ketika di tahun 1 pengajian. Playtersebut berjudul Trifles yang bermaksud sesuatu yang kecil tapi dianggap tidak bermakna. Anda boleh google untuk mendapatkan versi penuh play ini.
Dari perbincangan yang kami jalankan, dapat disimpulkan di sini bahawa karakter wanita dalam cerita ini telah berjaya menyelesaikan sebuah kes pembunuhan manakala karakter lelaki iaitu pendakwa raya dan sheriff hanya memerhati keadaan sekeliling untuk mengenal pasti bukti pembunuhan. Glaspell menggunakan pelbagai simbol dan klu untuk mendekatkan pembaca dengan motif pembunuhan yang hanya akhirnya karakter wanita dalam kisah ini berjaya merungkai motif pembunuhan. Dalam beberapa dialog yang berlangsung, karakter lelaki hanya memandang sisi negatif keadaan rumah manakala karakter wanita cuba memahami dan menilai kehidupan sebenar penghuni rumah tersebut dari sebuah ruang kecil iaitu dapur yang telah membawa kepada tragedi pembunuhan. Saya petik beberapa dialog dari cerita tersebut,
[The COUNTY ATTORNEY, after again looking around the kitchen, opens the door of a cupboard closet. He gets up on a chair and looks on a shelf. Pulls his hand away, sticky.]
COUNTY ATTORNEY: Here’s a nice mess.
[The women draw nearer.]
MRS PETERS: (to the other woman) Oh, her fruit; it did freeze, (to the LAWYER) She worried about that when it turned so cold. She said the fire’d go out and her jars would break.
SHERIFF: Well, can you beat the women! Held for murder and worryin’ about her preserves.
COUNTY ATTORNEY: I guess before we’re through she may have something more serious than preserves to worry about.
HALE: Well, women are used to worrying over trifles.
Simbolism merupakan kunci utama dalam play ini. Mungkin nampak remeh dan mudah, tapi hakikatnya play ini membuktikan bahawa hanya wanita yang memahami benda-benda remeh yang dilihat tidak penting oleh kaum lelaki. Play ini merupakan adaptasi sebuah kes pembunuhan yang sebenar berlaku pada tahun tersebut.
Hasil dari perbincangan cerita tersebut, kami terus mendalami beberapa isu berkaitan wanita. Lalu pensyarah mengemukakan sebuah pandangan iaitu “kitchen is every woman’s kingdom” dapur merupakan kerajaan bagi setiap wanita. Dari situ hati saya terdetik betapa hubungan wanita dan dapur bukan hanya sebuah isu dunia jika hanya dibincangkan dari ruang lingkup dunia, tapi jika kita pandang dari sisi akhirat betapa pentingnya hubungan ini dalam pembinaan ummah dan kemaslahatan Islam. Jika dapur boleh dibincangkan dan diperdebatkan hingga ke meja sastera, tidak mustahil sudut ini juga penting dalam Islam.
Wanita, Dapur dan Islam?
Waktu saya kecil dahulu, hampir semua makanan umi saya sediakan sendiri. Nak roti, umi saya akan bakarkan. Nak aiskrim, umi saya akan buatkan. Petik jari semuanya umi saya mahir buat. Kalau saya teringin apa saja pasti umi saya akan berusaha hasilkannya sendiri dengan air tangannya tanpa membeli terus dari luar. Hinggakan ketika itu, saya langsung tidak kenal pakcik penjual aiskrim yang selalu lalu lalang dengan motosikal berlocengnya di luar rumah.
Keadaan berubah apabila adik-adik semakin ramai dan tuntutan ekonomi keluarga semakin tinggi. Umi perlu bekerja dan banyak tanggungjawab lain memerlukan perhatiannya. Lalu, semakin kurang usaha umi untuk menghasilkan semua makanan tadi sendiri. Umi lebih suka membeli di kedai. Walaupun rasa roti dan aiskrim kedai sangat sedap, namun tidak dapat menandingi keaslian rasa hasil air tangan umi. Hingga suatu hari umi pernah meluahkan rasa hatinya pada saya.
“Dah lama umi tak masak macam dulu. Dulu apa anak-anak nak, semua di hujung jari umi je. Sekarang dah susah nak buat semua tu.”
Pernah juga saya tanyakan kepada umi, kenapa umi sanggup membuat itu semua sedangkan makanan tersebut boleh terus dibeli di kedai.
“Kalau ikutkan nak mudah dan jimat masa, memang boleh je umi nak beli dari kedai. Tapi bukan itu yang umi nak. Umi nak jaga darah yang mengalir dalam badan anak-anak umi. Umi nak jaga makanan anak-anak umi. Nak hasilkan anak-anak yang soleh bukan saja nak kena didik dengan nasihat dan pendidikan, tapi juga dengan air tangan umi. Setiap bentuk makanan yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Dari situ, umi senang nak nasihat anak-anak umi.”
Maka dari situ saya melihat, peranan wanita di dapur. Bukan sekadar melengkapkan teori kehidupan rumah tangga bahawa suami/ayah bertindak mencari rezeki manakala isteri/ibu menyediakan makanan dan layanan yang terbaik di rumah, malahan peranan dapur sebagai unit kecil terpenting untuk menghasilkan sumber makanan yang dapat membantu pembentukan sahsiah ummah. Dapur ialah kerajaan kecil bagi wanita di mana dia punya kuasa menentukan segala bentuk makanan yang akan masuk dalam kehidupan seisi rumah tangganya. Jika makanan yang tidak baik yang dia berikan, maka ia akan merosakkan seluruh ahli rumahnya. Jika sebaliknya pula yang dia berikan, maka akan menghasilkan ahli rumah yang sihat dan mampu bekerja dengan baik untuk kemaslahatan Islam.
Teringat juga kisah zaman nakal saya ketika itu yang sangat teringin makan mee segera. Sungguh waktu itu mee segera seolah-olah diharamkan terus dari masuk ke pintu rumah kami. Saya diam-diam membeli dan memasak mee segera di dapur ketika umi dan abah tiada di rumah. Plastik bungkusan mee itu sanggup saya buang jauh ke kampung sebelah takut dilihat oleh umi dan abah. Tapi akhirnya rahsia saya diketahui apabila malam itu saya cirit birit dan umi sangat arif dengan kesihatan anaknya menyoal makanan apa yang saya makan ketika dia tiada di rumah. Sejurus umi tahu saya makan mee segera tanpa keizinannya, esok harinya umi masak mee buatannya sendiri.
Pada pandangan kepercayaan lain atau sisi ideologi lain, peranan wanita di dapur tidak penting. Unit kecil ini hanya bertindak sebagai tempelan untuk melengkapkan sebuah kehidupan yang hanya berpaksikan duniawi. Ada juga yang memandang ia hanya sebuah budaya sesuatu masyarakat. Ada juga budaya lain yang tidak menitikberatkan soal wanita di dapur.  Sebab itu, ada sahaja golongan wanita yang tidak kisah memberi makanan jenis apa untuk anak-anak dan suaminya. Seawal usia tiga tahun sudah disogok dengan pelbagai bentuk makanan segera yang sudah terbukti tidak menyihatkan tubuh badan. Seawal usia kanak-kanak sudah pandai diajar memakan makanan-makanan ringan yang tinggi kandungan MSG dan bahan perasa tambahan. Hasilnya nanti, adakah makanan ini mampu menjamin tumbesaran fizikal, mental dan rohani yang terbaik buat mereka? Apakah fizikal yang disogok dengan makanan sebegini mampu membina rohani yang cemerlang?
Lalu bagaimana kemaslahatan ummah akan terjaga apabila soal ‘remeh’ ini tidak dipentingkan?
Jom belajar memasak!
Makanya, di sini saya ingin mengajak rakan-rakan Hawa saya yang dikasihi sekalian untuk merasai betapa pentingnya sisi kecil ini dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah di dunia ini. Bukankah Islam itu merangkumi seluruh aspek kehidupan. Mengapa kita abaikan bahagian ini dan hanya memandang ia sebagai budaya dalam masyarakat atau ideologi turun-temurun?
Jika budaya lain memandang bahawa wanita di dapur itu lemah dan suatu bentuk penindasan, maka kita yang memandang ia dari sisi Islam, wanita di dapur adalah unit terpenting pembinaan ummah dan masyarakat Islam yang berjaya.
Tidak berminat memasak? Maka pupuk minat itu dari sekarang sebelum terlambat.
Tidak sedar pentingnya wanita pandai memasak? Maka, hari mari kita sedarkan diri kita betapa pentingnya kemahiran memasak ini untuk kehidupan dan pengabdian kita kepada Allah swt.
Setiap individu Muslim itu mempunyai amanat dan tanggungjawab dari segenap posisi yang dia duduki. Meskipun hanya melaksanakan tugasan di dapur, itu juga satu posisi Islam yang dapat membantu pembinaan batu bata Islam. Maka marilah bermula dari sekarang. Jika anda masih bujang, ayuh pupuk minat memasak dan cintakan dapur. Jika anda sudah berkeluarga, belum terlambat lagi untuk kembali menetapkan niat akan tugasan sebenar anda di sudut kecil ini.
Penutup
Dari kisah kehidupan yang saya bawakan dan sebuah cerita yang dipetik dari karya Susan Glaspell, ingin saya kaitkan bahawa peranan wanita di dapur mampu menggoncangkan dunia. Sedarlah bahawa yang sedikit inilah mampu memainkan peranan terpenting dalam kehidupan seorang Muslim. Jika sedikit ini tidak terjaga, tidak mustahil yang besar tak akan mampu tercapai. Jangan hanya lihat memiliki kemahiran ini hanya prasyarat utama sebelum mendirikan rumah tangga atau sebagai jaminan untuk mengambil hati keluarga mertua dan bakal suami, tapi pandanglah ia dan jalankan ia sebagai sebuah amanah dan tanggungjawab seorang Muslimah yang berIman. Wallahualam.

*hoho..dush ! mcm t'kene ckit kat diri ini .. ;P

No comments:

Post a Comment